PERUTUSAN 2019-06-03T14:20:38+00:00

Perutusan Pemangku Pengurus Besar Yayasan Selangor Sempena Tahun Baharu 2019

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam yang telah memberikan nikmat dan rahmat kepada kita, serta selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyatu ummat manusia sehingga akhir zaman.

Tahun 2018 telah melabuhkan tirainya. Kini muncul pula tahun 2019, yang mana seperti biasa kita akan memperbaharui semangat dan azam supaya tahun baharu ini menjadi lebih bermakna dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi sama ada membuat perubahan pada diri sendiri mahupun organisasi.

Yayasan Selangor akan terus memartabatkan taraf pendidikan anak watan agar legasi pembangunan modal insan dilaksanakan dengan konsisten dan istiqamah. Program-program pendidikan yang telah dirancang akan terus diperkasakan dan ditambah baik dari semasa ke semasa. Usaha yang berterusan juga wajar digembleng dengan lebih padu dalam mencari idea bernas demi memacu penjanaan pendapatan Yayasan Selangor menerusi segala aset yang dimiliki di samping projek-projek pembangunan yang sedang dirangka dengan penuh penelitian.

Keadaan ekonomi negara dan dunia yang dijangka lebih mencabar pada tahun 2019 menuntut kita sebagai warga kerja Yayasan Selangor bersiap siaga untuk menghadapi pelbagai situasi dengan berusaha lebih gigih untuk meningkatkan hasil pendapatan di samping mengamalkan langkah-langkah penjimatan serta berbelanja dengan penuh berhemat.

Justeru, harapan saya semoga tahun 2019 ini menjadi batu loncatan untuk Yayasan Selangor terus bergerak lebih maju dan berjaya. Saya bersama pasukan Pengurusan Yayasan Selangor menyeru kepada semua warga kerja agar sama-sama berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT agar kita sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan. Semoga segala perancangan yang telah direncanakan dapat direalisasikan dengan jayanya dan dilindungi daripada sebarang keburukan. Allahumma Amin.

Sekian, Wassalam.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2019!

ZAHURA BINTI ZAKRY
Pemangku Pengurus Besar
Yayasan Selangor

HUBUNGI KAMI

+603-7669 1100

DIREKTORI

HIGHLIGHTS

BERITA TERKINI

View More
Do NOT follow this link or you will be banned from the site!